Orang-orang tua Melayu pada zaman dahulu memang kaya dengan petua yang
berguna tak kiralah samada petua kecantikan, petua nak cepat dapat
jodoh, petua memasak, petua supaya awet muda, petua rumahtangga bahagia,
petua memikat gadis dan macam-macam lagi petua yang berguna dan
menarik. Adakah petua-petua yang diamalkan oleh nenek moyang kita boleh
dipakai? Bagi saya tentulah petua-petua tersebut berkesan, kalau tak
berkesan tentulah ianya tidak diperturunkan kepada generasi yang
seterusnya.
Ianya merupakan satu warisan Melayu yang tidak ternilai yang ditemui
oleh nenek moyang kita bagi mempermudahkan sesuatu kerja dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi pada zaman tersebut. Di bawah
merupakan antara petua yang ringkas, mudah dan berkesan yang boleh
dicuba oleh sesiapa sahaja terutamanya bagi golongan wanita dan
surirumah. Selamat mencuba..
1.Petua menghilangkan bau nasi hangit
Nasi hangit biasanya kurang enak dimakan. Untuk menghilangkan bau
hangit, periuk yang berisi nasi hangit hendaklah ditutup dengan daun
pisang. Alas dengan surat khabar kemudian barulah ditutup dengan
penutupnya sebelum direndam periuk nasi ke dalam besen berisi air.
2.Petua menghilangkan bau hanyir ikan,
sotong dan udang juga petua menambahkan kesuburan pokok bunga
Semasa mencuci beras, airnya jangan dibuang. Ia boleh digunakan untuk
membersihkan ikan, udang dan sotong untuk menghilangkan bau hanyirnya
dan disiramkan pada pokok bunga untuk menambah kesuburannya. Selain
daripada itu, air beras juga boleh dibuat mandi sebagai penawar untuk
menyejukkan badan dan kepala kanak-kanak.
3.Petua untuk mudah kupas kulit bawang
Semasa memotong bawang, kadangkala kulitnya melekat pada isinya. Satu
cara untuk mengupas kulitnya adalah dengan merendam bawang merah di
dalam air selama lima minit kemudian baru dikupas.
4.Petua untuk mengelakkan balang atau bekas gula dimasuki semut
Untuk mengelakkan balang atau bekas gula daripada dimasuki semut, sapukan minyak masak disekeliling balang.
5.Petua mengelakkan hati lembu yang dimasak menjadi keras
Semasa memasak hati lembu, kebanyakan suri rumah membiarkan masakan itu
terlalu lama di atas dapur hingga menyebabkan hati menjadi keras. Satu
rahsia agar hati kekal lembut ialah jangan memasaknya terlalu lama di
atas api. Masukkan kesemua rempah dan rencah yang diperlukan, biarkan
hingga garing kemudian barulah dimasukkan hati. Kacau selama dua atau
tiga minit dan terus padamkan api. Hati bukan sahaja lembut tetapi
rasanya lebih enak.
6.Petua untuk menanggalkan getah buah-buahan yang terkena pada pakaian
Pakaian yang terkena getah buah-buahan jangan terus dibuang. Petua untuk
menanggalkan getah itu ialah dengan menabur garam halus sebelum dituang
air yang baru mendidih ke atasnya. Lakukan beberapa kali dan kesan
getah akan hilang innsyallah.
7.Petua mencuci pakaian yang terkena minyak
Mencuci pakaian yang terkena minyak ada caranya. Tuang minyak tanah ke
bahagian yang terkena minyak dan sental untuk seketika sebelum digosok
dengan limau nipis. Akhir sekali baru dicuci seperti biasa dengan sabun.
8.Petua menuang air yang mendidih pada gelas kaca
Air yang baru mendidih jangan terus dituang ke dalam gelas kerana ini
akan menyebabkan gelas pecah. Cara yang betul ialah meletak sudu
aluminium ke dalam gelas kemudian baru dituang air.
9.Petua untuk mengelakkan jemput-jemput daripada menjadi keras
Untuk mengelakkan jemput-jemput daripada menjadi keras, masukkan sedikit
serbuk penaik ke dalam adunan tepung. Satu lagi petua ialah dengan
memasukkan sedikit air perahan limau nipis.
10.Petua untuk memudahkan menggoreng ikan supaya tak melekat
Kuali baru atau yang tidak dicuci bersih menjadi punca ikan melekat
semasa digoreng. Jadi sebelum menggoreng ikan, pastikan kuali dicuci
bersih. Jangan ada sedikit pun kerak atau sisa-sisa makanan di dalamnya.
Jika ikan masih melekat pada kuali, tabur sedikit kulit bawang besar ke
dalam minyak dan biarkan sebentar. Ikan bukan sahaja mudah dialihkan
tetapi juga menjadi garing
Tiada ulasan:
Catat Ulasan